SELANGOR FC
BERITA

Reviu Perlawanan FA QF2 | Selangor FC 3-2 Kuching City FC [Agg. 4-4] (Pen. 5-3) | Mara Ke Separuh Akhir!

Jul 07, 2024 - FAS

Mara ke pusingan Separuh Akhir Piala FA 2024/25 dengan penuh dramatik, Selangor FC menang ke atas Kuching City FC menerusi penentuan sepakan penalti 5-3 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya semalam.

Skuad Gergasi Merah ketinggalan satu jaringan lepas balik dari Stadium Negeri Sarawak minggu lalu, sudah semestinya pasukan mencari kemenangan. Beraksi lebih 120 minit, Selangor FC berjaya menjaringkan tiga gol sebelum perlawanan berakhir dengan sepakan penalti. Dua jaringan separuh masa pertama dijaringkan oleh Zikri Khalili pada minit ke-26 dan Alvin Forted pada minit ke-38. Kemudian, dalam separuh masa kedua, Alvin Fortes sekali lagi meledak masuk gol pada minit ke-114 perlawanan. Namun, perlawanan dilanjutkan dengan masa tambahan selepas Kuching City mengikat kedudukan dengan agregat 4-4. 

Skuad Gergasi Merah berjaya bertahan dengan sembilan pemain dalam  padang semasa tambahan masa kedua, selepas dua pemain dilayangkan kad merah. Sepakan penalti yang penuh mendebarkan berakhir dengan keputusan 5-3, menerusi kapten pasukan, Safuwan Baharudin, Haiqal Lau, Syahir Bashah, Izwan Yuslan dan Harith Haiqal berjaya melayakan pasukan ke pusingan Separuh Akhir Piala FA 2024/25.

Menurut Ketua Jurulatih Selangor FC, Nidzam Jamil, kemenangan dramatik ini hasil kerja keras mereka, “Inilah bola sepak. Setiap minit adanya elemen mendebarkan dan usaha keras mereka dalam padang dapat dirasakan. Bagi saya, pemain telah berikan seratus peratus usaha mereka untuk dapatkan kemenangan ini. Mereka bermain untuk para penyokong yang hadir memenuhi Stadium MBPJ semalam. Saya amat bersyukur dengan pemain-pemain terutamanya mereka yang beraksi di separuh masa kedua. Mereka bertahan dengan baik dengan hanya sembilan pemain dalam padang, ini situasi yang amat sukar, saya berdoa sampai tamat perlawanan agar pemain-pemain dapat beraksi dengan baik. Saya dapat rasakan kemahuan mereka untuk dapatkan kejayaan dalam setiap perlawanan. Semua ini adalah usaha mereka. Pujian untuk mereka.” Nidzam Jamil menyatakan perasaannya.

Daripada perlawanan #SFCKUC dalam saingan Piala FA peringkat Suku Akhir semalam, beberapa perkara penting dapat dilihat, seperti:-

Sikap tidak mengalah beraksi biarpun beraksi dengan hanya 9 pemain

Perlawanan semalam Selangor FC terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas dua pemain dilayangkan kad merah. Walaupun perlawanan lanjut ke masa tambahan setelah perlawanan berakhir dengan keputusan seri, pemain-pemain bertahan dengan sangat baik bagi menidakkan pasukan lawan menjaringkan gol kemenangan. Bukan sahaja bertahan malah beberapa pecubaan juga terhasil biarpun kekurangan dua pemain. Setelah berjaya bertahan, perlawanan lanjut ke sepakan penalti. Kapten pasukan, Safuwan Baharudin menjadi pengambil sepakan penalti pertama bersama dengan empat pemain muda iaitu Haiqal Lau, Syahir Bashah, Izwan Yuslan dan Harith Haiqal  yang berakhir dengan kemenangan 5-3. 

Safuwan Baharudin pemain berkelas tinggi

Kapten pasukan, Safuwan Baharudin telah menggalas tanggungjawab beliau sebagai ketua pasukan, bukan sahaja beraksi dengan baik bagi menghalang cubaan-cubaan pasukan lawan daripada membolosi barisan pertahanan namun beliau juga berjaya mengawal emosi pemain-pemain lain tidak kira pemain import mahu pun pemain muda. Biarpun beliau kurang sihat semalam, Safuwan merupakan salah seorang pemain yang beraksi sehingga tamat penentuan sepakan penalti dan merupakan penjaring penalti pertama buat Gergasi Merah.

Menurut Nidzam Jamil, “Safuwan menunjukkan contoh yang sangat baik kepada adik-adik dia, menjadi pemain pertama yang mengambil penalti bagi mengurangkan debaran dan ketegangan keadaan tersebut. Beliau bagaikan seorang penolong jurulatih yang berada di dalam padang. Dia mampu mengawal emosi pemain-pemain lain bagi menghasilkan persembahan yang baik dan dalam masa yang beliau sendiri beraksi dengan baik. Bagi saya, Safuwan seorang pemain yang berkelas tinggi.”

Persembahan baik Samuel Somerville

Selain kesungguhan pemain-pemain lain, penjaga gol Selangor FC, Samuel atau Sam juga harus diberi pujian. Beliau telah menyelamatkan gawang pasukan dengan sangat baik semalam biarpun bolos dua jaringan. Beliau berjaya menidakkan berapa percubaan 1v1 barisan serangan Kuching City FC sepanjang lebih dari 120 minit beraksi. 

Alvin Fortes terus mengasah ketajamannya dalam Piala FA

Alvin Fortes sekali lagi telah menjaringkan dua gol dalam dua perlawanan Piala FA 2024/25. Kedua-dua jaringan beliau telah memberi harapan yang tinggi kepada pasukan dan penyokong Gergasi Merah apabila gol pertamanya pada minit ke-38 berjaya menyamakan kedudukan, manakala jaringan kedua pada minit ke-114 pula meletakkan Selangor FC di hadapan biarpun terpaksa akur dengan keputusan agregat 4-4. Musim ini, Fortes telah membawa satu warna baharu dalam bahagian serangan daripada lebihan yang beliau miliki mampu memberi ancaman kepada pihak lawan. 

Nidzam Jamil mahu terus dukung usaha Fortes, “Saya akan sentiasa mendukung beliau. Alvin sendiri sebagai pemain penyerang pastinya mahu menjaringkan gol dalam setiap perlawanan tetapi inilah bola sepak. Selagi beliau bekerja keras dan percaya rakan sepasukan sentiasa berada di belakang, saya akan terus sokong beliau. Alvin pemain yang penting untuk pasukan Selangor FC musim 2024/25.”

Tiada yang lain selain kamu, penyokong Gergasi Merah.

Pihak pengurusan Selangor FC dengan persetujuan Ketua Jurulatih, Nidzam Jamil bersetuju untuk menghadiahkan Man of The Match (MOTM) kepada para penyokong Merah Kuning. Tanpa suara dan semangat mereka dalam menyokong pasukan dari minit pertama perlawanan sehingga tamat perlawanan sekaligus menyaksikan pasukan berjaya mara ke pusingan Separuh Akhir. Suara bergema di Stadium MBPJ, Kelana Jaya tidak akan berlaku tanpa anda semua! Suara anda semangat kepada pemain-pemain. Terima kasih, kami ucapkan.

Saingan Piala FA 2024/25 peringkat Separuh Akhir bakal dijalankan secara timbal balik. Selangor FC akan bertemu seteru utama, Terengganu FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bagi perlawanan pertama yang berkemungkinan akan berlangsung pada 20 Julai ini.

Pihak pengurusan Selangor FC mengucapkan tahniah kepada pasukan, pujian kami berikan kepada semua pemain. Kelab tidak akan layak ke pusingan Separuh Akhir Piala FA 2024/25 tanpa semangat dan usaha keras para pemain. 

Demi Kebanggaan